berjalan

Pendaftaran Penang Starwalk 2017

6/23/2017 10:03:00 AM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Ramai telah bercuti pada hari ini. Bagi yang akan pulang ke kampung, berhati-hati di jalanraya.

Penang Starwalk 2017


Berita baik buat sesiapa yang meminati aktiviti sukan atau yang menyihatkan. Penang Starwalk 2017 akan diadakan pada 10 September 2017 hari Ahad yang bertempat di Gurney Paragon Mall.

Acara ini merupakan acara tahunan yang diadakan dan dianjurkan oleh The Star. Pada tahun ini, acara ini akan bertukar ke lokasi baru sempena meraikan edisi ke 40 tahun Penang Starwalk 2017.

Jarak dan laluan Penang Starwalk 2017 telah pun ditetapkan dan ianya adalah sejauh 7km. Di sini Eyda sertakan laluan Penang Starwalk 2017 ini.
 
Laluan Penang Starwalk 2017

Pendaftaran boleh dilakukan secara manual atau online. Pendaftaran secara manual bolehlah berkunjung ke lokasi ini.

lokasi pendaftaran manual


Bagi pendaftaran secara online, sila layari http://sites.thestar.com.my/starwalk/ . Bayaran yang dikenakan untuk pendaftaran ini ialah RM20 untuk dewasa dan RM15 bagi pelajar yang mendaftar melalui sekolah masing-masing.

Bayaran pendaftaran

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Facebook : http://www.facebook.com/StarWalk.my
Contact : janicetan@thestar.com.my
04-6473388 ext 3122


info

Sampul Raya PLUSMiles

6/22/2017 10:43:00 AM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Alhamdulillah hari ini hari ke 27 kita berpuasa, in shaa Allah lagi 3 hari kita akan merayakan Hari Raya Aildilfitri.

Dikesempatan ini, Eyda ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin buat semua kenalan Eyda tidak kira di alam maya atau diluar sana.

Hari ni nak cerita kisah semalam, memandangkan setiap bulan memang rutin biasa untuk Eyda tambah nilai kad Touch n Go Eyda.

Jadinya semasa dalam perjalanan nak ke tempat mesyuarat semalam, Eyda tambah nilai kad Touch n Go Eyda di kaunter tambah nilai di plaza tol saja memandangkan semalam merupakan hari terakhir untuk tambah nilai di plaza tol.

Tak sangka pula, Eyda akan menerima sampul raya daripada pihak PLUSMiles. Comel jer rekaannya. Banyak juga sampul raya yang Eyda ada sekarang. Nanti kena mulakan operasi memasukkan duit raya.

sampul raya daripada PLUSMiles


MAKLUMAN

Mulai hari ini, 22 Jun 2017 hingga 2 Julai 2017, semua 134 lorong tambah nilai di plaza tol Lebuh Raya PLUS akan ditutup untuk urusan tambah nilai.

Jadinya, bagi yang akan membuat perjalanan balik kampung atau urusan lain, sila pastikan nilai yang mencukupi bagi Touch n Go anda bagi mengelakkan perjalanan anda terganggu.

Tambah nilai kad Touch n Go boleh dilakukan di mesin ATM Bank, stesen-stesen minyak, kedai serbaneka dan lain-lain kedai yang menawarkan khidmat tambah nilai bagi kad Touch n Go.



Kenangan

Emak Dalam Kenangan

6/09/2017 01:01:00 PM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Dah seminggu Eyda tak menulis di sini kan. Alhamdulillah kita masih lagi dapat bernafas pada hari ini. 

Hari ini memasuki separuh bulan kita berpuasa di bulan Ramadhan dalam tahun ini. Cepat jer masa berlalu. Maaf entri Eyda kali ini sedikit panjang kerana ianya catatan perjalanan terakhir mak Eyda.


HARI-HARI TERAKHIR EMAK

Hari mak disahkan kritikal


Bila membacakan tajuk, mesti semua dah boleh mengagak apa hasil penulisan Eyda pada hari ini. Semuanya ingin Eyda simpan di sini sebagai memori Eyda di masa akan datang.

Semua orang ada ibu, emak, mummy, mami, mama dan pelbagai lagi panggilan yang merujuk kepada seorang ibu yang melahirkan dan membesarkan kita.

Eyda memanggil ibu Eyda dengan panggilan emak atau mak. Seorang mak yang pastinya akan Eyda rindui terutamanya masakannya. Sepanjang Eyda hidup, jarang sangat membeli makanan atau lauk pauk dari luar. Semuanya emak masak dengan penuh kasih sayang.

Bila mak mula jatuh sakit selepas Raya Aidiladha pada tahun lepas, semua mula berubah. Mak makin lama makin tak mampu untuk memasak. Masanya banyak dihabiskan di katil perbaringan.

Setelah kesihatan mak sedikit baik beberapa bulan kemudian. Kami rasakan harapan mak untuk pulih semula adalah tinggi. Tiba-tiba kesihatan mak kembali turun naik tidak menentu.


30 Mei 2017

Hari ini mak dijadualkan buat pemeriksaan dengan Doktor M. Amir Shah di Gleneagles Penang. Laporan bacaan sel kanser mak naik dari 30 lebih ke 83.

Makanya mak perlu menjalani kimoterapi kali ke-15 pada hari tersebut. Kimoterapi mak yang pertama adalah pada 12 Oktober 2016 yang lalu.

Pulang dari hospital, mak masih boleh berjalan seperti biasa walaupun perlahan. Malamnya mak meletakkan kain tuala yang dibasahkan di dahi.

Kesan ubat kimoterapi yang panas, membuatkan mak terpaksa letakkan kain tuala kecil yang dibasahkan itu.

Malam itu, mak mengadu kurang sihat pada ayah. Sedih Eyda dengar. Tapi Eyda tak mengganggu perbualan antara mak dengan ayah pada malam tersebut.


31 Mei 2017

Sekitar jam 3.00 pagi, mak mengadu penat atau lebih tepat lagi sesak nafas. Ayah terus membawa mak ke unit kecemasan hospital berhampiran rumah.

Ayah balik sekitar jam 4.00 pagi barulah Eyda tahu mengenai mak. Selepas ayah bersahur dan solat Subuh, ayah kembali ke hospital untuk melihat keadaan mak.

Sekitar jam 7.00 pagi mak dimasukkan ke wad 10 katil nombor 7. Katil dan wad yang sama mak masuk bulan sebelumnya.

Kakak Eyda juga dimaklumkan mengenai mak yang berada di hospital. Kakak kata ayah sebak masa bagitau mengenai keadaan mak pada kakak. Eyda pula hanya dapat melawat mak pada waktu petang selepas pulang dari pejabat, masak menu untuk berbuka barulah ke hospital melawat mak.

Untuk pengetahuan, wad ini tidak dibenarkan untuk sesiapa menemani pesakit. Jadinya kita hanya dapat melawat ketika waktu melawat sahaja.


1 Jun 2017

Kakak sekeluarga pulang untuk melawat mak. Kalau ikutkan, kakak rancang nak balik minggu depan cuti hari minggu bersambung dengan Nuzul Al-Quran.

Tapi memandangkan mak kurang sihat, kakak balik untuk ziarah mak seminggu lebih awal. Kakak sekeluarga sampai di hospital petang waktu melawat.


2 Jun 2017

Kakak melawat mak masa waktu melawat tengahari dan juga petang. Kakak sempat mengelap badan mak pada waktu melawat tengahari hari tersebut. Eyda hanya melawat mak pada petangnya selepas pulang dari pejabat.


3 Jun 2017

Titik akhir kesihatan mak mula merosot teruk pada hari ini. Ayah yang melawat mak pada pagi hari tersebut telefon meminta sesiapa untuk ziarah mak. Memandangkan kakak sedang membasuh baju, makanya Eyda yang pergi melawat mak di hospital.

Sampainya di hospital, Eyda tengok ayah sedang mengurut dan memicit kaki mak. Eyda tengok air mata ayah mengalir. Bila Eyda pegang kaki mak, ya Allah sejuknya kaki mak dari bawah lutut ke bawah. Eyda turut sama menitiskan air mata sambil mengurut dan memicit kaki mak.

Eyda memang tak bawa sebarang minyak panas. Eyda minta kakak untuk bawa nanti. Kakak bawa minyak panas masa waktu melawat tengahari kerana pengawal tak benarkan kakak masuk awal.

Abang juga melawat mak pada waktu tengahari tersebut. Mak agak gembira pada ketika itu. Walaupun mak masih tak mampu menggerakkan badan terlalu banyak kerana masih berasa penat bila bergerak.

Kakak sekeluarga balik pada petangnya kerana pada keesokkan harinya perlu menghantar anak sulungnya masuk semula ke UiTM. Ini kerana sesi pertama akan bermula pada hari Isnin.

Malamnya, selepas berbuka dan solat Maghrib Eyda terus bergegas ke hospital untuk menjaga mak. Ini kerana doktor memberi keiizinan untuk menemani mak pada malam tersebut.

Selepas adik dan ayah pulang, jururawat dan doktor mula mengerumuni mak. Doktor mendekati Eyda dan menerangkan mengenai keadaan mak pada masa itu.

Luluh hati Eyda bila doktor mengklafikasikan mak berada dalam keadaan kritikal. Eyda masih mampu lagi menahan air mata ketika itu.

Doktor ingin berjumpa dengan ayah untuk menerangkan dan memberitahu mengenai keadaan mak ketika itu.

Eyda hubungi ayah untuk maklumkan mengenai hasrat doktor. Ayah datang mendengar penerangan doktor dan bertegas tak membenarkan doktor melakukan CPR atau menggunakan mesin elektrik untuk menyedarkan mak sekiranya mak pengsan pada malam tersebut.

Eyda mula menghantar mesej WhatApp pada kakak menyatakan keadaan mak ketika itu. Kakak terus menyatakan akan kembali secepat mungkin.

Alhamdulillah urusan kakak dipermudahkan bila adik ipar yang ke Ipoh ingin bertolak pulang pada malam tersebut. Makanya kakak menumpang adik ipar saja pada malam tersebut.

Bacaan surah Yassin mula meniti bibir Eyda pada malam tersebut sambil mata Eyda ligat memantau bacaan nadi mak yang tak stabil. Bacaan tekanan darah mak juga adakalanya stabil, adakalanya rendah. Tidak ketinggalan ada bacaan tekanan darah tidak dapat dibaca langsung.


4 Jun 2017

Awal pagi itu Eyda menutup kipas angin yang menghala mak sebab mak mengadu sejuk sambil tangannya diletakkan di dalam kain.

Sekitar jam 3.40 pagi, mata Eyda dah tak mampu buka lagi. Hinggakan beberapa kali Eyda terlelap ketika membaca surah Yassin. Akhirnya Eyda terlelap di katil sebelah mak dengan izin jururawat.

Ketika Eyda sedar sekitar jam 4.00 pagi, Eyda dikejutkan oleh jururawat. Tangan mak berdarah gara-gara jarum yang ada pada tangan mak tercabut. Ya Allah, lalainya Eyda sehingga terlelap dan tak perasan keadaan tu.

Selepas jururawat menukar baju dan sarung bantal yang kena darah. Eyda juga lapkan tangan mak yang kena kesan darah. Ketika ini Eyda nampak bacaan nadi mak kembali stabil. Eyda minta izin mak untuk pulang untuk sahur.

Siangnya kakak pula mengambil tempat untuk menjaga mak. Ketika itu, doktor bertanya pelbagai maklumat sejarah kesihatan mak. Eyda pun kurang tahu kesemua maklumat.

Eyda maklumkan ayah mengenainya, dan ayah bergegas ke hospital. Selang beberapa jam kemudian, kakak nyatakan yang doktor ingin berjumpa semua ahli keluarga terdekat.

Memandangkan abang Eyda hanya dapat hadir petang, makanya hanya ayah, kakak, Eyda dan adik sahaja yang berjumpa doktor ketika itu.

Doktor menerangkan keadaan mak yang makin merosot. Bacaan keputusan darah makin hari makin merosot. Pelbagai rumusan dari kesihatan mak dapat doktor simpulkan.

Kami memang tak memberi izin untuk melakukan CPR atau menggunakan elektrik untuk selamatkan mak kerana risiko untuk patah tulang rusuk, hanya 50% mak kembali sembuh dan lain-lain lagi.

Doktor juga memberi izin untuk ahli keluarga melawat mak pada hari tersebut bila-bila masa. Semua ahli keluarga diberitahu akan perkara ini. Ramai yang datang melawat termasuklah kawan-kawan mak selalu pergi mengaji.

Eyda meminta izin untuk balik, kerana tidur Eyda dah terganggu. Eyda pun rasa kurang tenaga untuk berjaga lagi.

Sampainya di rumah selepas solat Zohor Eyda tidur sehingga hampir jam 6.00 petang. Terjaga dari tidur, Eyda terus solat Asar dan ke bazar Ramadhan untuk membeli sedikit juadah untuk berbuka.

Selepas berbuka dan solat Maghrib, Eyda ke hospital untuk menjaga mak. Abang pun nak balik ke rumah selepas Eyda sampai. Malam ini Eyda akan menjaga mak bersama kakak.

Doktor dah memberi izin 2 orang boleh menjaga mak malam tersebut. Alhamdulillah, dapat kami sama-sama bergilir membaca surah Yassin dan berada di sebelah mak.

Doktor Faizal yang bertugas malam itu, memaklumkan keadaan mak terlalu nazak. Doktor memberi pilihan kepada kami untuk membawa mak pulang atau berada di hospital.

Ini kerana bacaan tekanan darah mak sukar untuk dibaca dan akhir bacaan menggunakan alat bacaan tekanan darah jenis lama dan bacaan tekanan daah mak hanya 20/10. Ya Allah terlalu rendahnya.

Kami terus telefon ayah dan mak sedara untuk meminta pendapat. Semuanya meminta untuk dibawa pulang sahaja.

Tetapi mak tidak mahu pulang dan tetap ingin berada di hospital sahaja. Ayah tidak mahu mengecilkan hati mak. Maka dengan berat hati izinkan mak berada di hospital sahaja.


5 Jun 2017

Sempat juga kami makan kudapan yang kakak beli bersama-sama. Eyda dah bekalkan Nescafe perisa Kopi O. Itulah senjata Eyda untuk berjaga malam tersebut. Tak mampu lagi untuk Eyda terlelap macam malam sebelumnya.

Suhu badan mak sedikit naik, 38 darjah. Jururawat memberi panadol yang dihancurkan untuk disuapkan ke mulut mak. Alhamdulillah mak masih makan ubat ni walaupun tidak habis.

Sekitar jam 3.00 pagi, kakak dah mula mengantuk walaupun dia dah mengambil wuduk sebelumnya. Siap terlelap beberapa kali semasa membaca surah Yassin. Alhamdulillah Eyda masih boleh bertahan penangan air Kopi O yang Eyda minum tu.

Eyda pula berada di sisi mak, memegang tangan mak sambil zikir dan diselang seli dengan mengucap tanpa henti. Dengan harapan mak mengikutinya walaupun mak tidur.

Sekitar jam 3.30 pagi, seorang bayi yang baru lahir bilik sebelah tiba-tiba menangis dengan kuat. Kakak tersedar sekejap, tiba-tiba tertidur semula. Kali ini teriakan bayi itu bertambah kuat, bacaan nadi mak dari 144 terus turun dengan lajunya.

Eyda sempat memanggil kakak. Kakak terbangun terus bergegas memanggil jururawat. Ternyata mak pergi dulu. Eyda perasankan mata mak tiba-tiba celik dan nafas mak tiba-tiba berhenti.

Eyda terus telefon ayah dan adik untuk datang ke hospital dengan segera. Doktor sahkan mak meninggal jam 3.50 pagi.

Ayah pulang untuk membuat persiapan di rumah. Eyda dan kakak ayah tugaskan untuk menguruskan jenazah mak pulang.

Alhamdulillah urusan untuk membawa pulang jenazah mak dipermudahkan. Jenazah mak dapat dibawa pulang ketika azan Subuh berkumandang.

Status yang Eyda muat naik ke akaun Facebook sehari selepas mak meninggal


Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan dari mula hingga akhir. Terima kasih buat semua yang membantu dan terlibat secara langsung atau tidak langsung.



Blog yang Diikuti